[Hari 16] Ketidakpastian


Image
HARI 16
Ketidakpastian


Damai sejahtera Kutinggalkan bagimu. Damai sejahtera-Ku Kuberikan kepadamu, dan apa yang Kuberikan tidak seperti yang diberikan oleh dunia kepadamu. Janganlah gelisah dan gentar hatimu.
Yohanes 14:27

Seorang yang menderita akibat agorafobia, kecelaruan kebimbangan yang dicirikan oleh simptom kebimbangan apabila seseorang dalam ruang terbuka, pengangkutan awam atau sebarang tempat diluar rumah, bersungguh-sungguh ingin mendapatkan kesembuhan dalam hal ini. Dia bersetuju melawat ke pejabat kaunselor untuk berhadapan dengan isu tersebut. Meskipun mengetahui bahawa dia akan berasa selamat dalam pejabat kaunselor, cabarannya adalah perjalanan di antara rumah dan pejabat. Dia menyamakan perasaannya dengan artis ayunan dalam pertunjukan sirkus, apabila dia berada di antara dua batang ayunan, “terbang” atau “terapung” di udara. Tidak pasti dengan keselamatannya.

Ketika kita berhadapan dengan masa depan yang tidak diketahui, kita tercenderung mencari di sekeliling kita, berharap menemui beberapa kepastian akan keselamatan kita dalam orang lain dan dalam dunia. Tetapi apabila seluruh dunia jatuh ke dalam ketidakpastian masa depan, kepada siapa kita berharap? Yesus dalam kata-kata penghiburannya kepada murid-muridNya, seolah-olah mencadangkan bahawa akan ada waktu malah kepastian terbaik yang dunia dapat berikan, tidak cukup untuk mengurangkan ketakutan kita. Damai yang kita cari tidak dapat ditemukan dalam orang lain atau dunia sekeliling kita. Maka, damaiNya yang melebihi fikiran manusia adalah apa yang kita perlukan. Saya fikir waktunya adalah sekarang.

Ketidakpastian tentang apakah sisi lain pandemik masa kini, mungkin juga termasuk ketidakpastian bilakah kita akan sampai ke penghujung pandemik ini, agak menyiksakan, membimbangkan. Adakah kehidupan akan kembali kepada cara normal yang kita ketahui?

Ramai di antara kita tahu bahawa selama kita diam di rumah kita, kita selamat. Bagi kita yang memiliki Yesus dalam hidup kita juga mengetahui bahawa pengakhiran kita pasti – hidup yang kekal dalam rumah kekal dengan Bapa yang kekal, selamat. Cabarannya adalah sekarang, dan di antara rumah di bumi dan rumah kekal di syurga. Tuhan tahu bahawa kita tidak akan dapat mengelak daripada menghadapi ketidakpastian dan kekhuatiran dalam hidup. Oleh itu, Dia berjanji kepda umatNya, “Apabila engkau menyeberang melalui air, Aku akan menyertai engkau, atau melalui sungai-sungai, engkau tidak akan dihanyutkan; apabila engkau berjalan melalui api, engkau tidak akan dihanguskan, dan nyala api tidak akan membakar engkau. (Yesaya 43:2)

DamaiNya datang dengan hadiratNya. Ketika waktu yang mencabar dan kadangkala mengelirukan ini, marilah kita diteguhkan bahawa damai yang Yesus janjikan adalah apa yang dunia perlukan. Mencari wajah Allah dan hadiratNya dalam penyembahan, kesyukuran, mempelajari FirmanNya dan berdoa, adalah satu-satunya yang diperlukan oleh kita.


FOKUS DOA
Berdoa untuk semua (termasuk diri kamu) yang berhadapan dengan ketidakpastian, kekhuatiran dan ketakutan, bahawa Raja Damai, Yesus akan hadir bersama mereka (dan kamu) untuk membawa damai sejahtera ilahi.