[Hari 37] Percayalah Kepada Tuhan untuk Masa Depanmu


Image
HARI 37
Percayalah Kepada Tuhan untuk Masa Depanmu


“Percayalah kepada Allah! Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya barangsiapa berkata kepada gunung ini: Beranjaklah dan tercampaklah ke dalam laut! asal tidak bimbang hatinya, tetapi percaya, bahwa apa yang dikatakannya itu akan terjadi, maka hal itu akan terjadi baginya. Karena itu Aku berkata kepadamu: apa saja yang kamu minta dan doakan, percayalah bahwa kamu telah menerimanya, maka hal itu akan diberikan kepadamu.
Markus 11:22b-24

Firman ini bukan bermaksud satu persetujuan menyeluruh untuk semua permintaan yang kita ajukan kepada Allah. Yesus mendorong kita berdoa, memusatkan perhatian kepada iman terhadap-Nya ketika berdoa. Untuk adanya iman terhadap Allah, bererti kita perlu mengenal Allah, kehendak-Nya dan sifat-Nya. Untuk memiliki iman terhadap Allah, juga bermaksud kita perlu percaya bahawa Allah akan memberikan yang terbaik kepada kita. Ia bemaksud mempercayai bahawa Dia sudi, (kerana Dia mengasihi kita), Dia mampu (kerana Dia berkuasa) dan Dia bersedia (kerana Dia sudah mempunyai rancangan yang sempurna bagi kita) untuk melakukan apa yang kita minta dalam doa.

Tuhan cepat menjawab doa-doa kita kerana Dia telah mengikat diri-Nya kepada kita dalam Perjanjian. Itu juga bermaksud adanya kewajiban dalam Perjanjian antara kita dengan Tuhan. Dalam hubungan iman bersama Tuhan, teliti dan perhatikan kewajiban Perjanjian kita dengan Tuhan pada tahun lalu. Kewajiban kita dalam Perjanjian bersama Tuhan adalah jelas: mengasihi Tuhan, menyembah Dia, mengasihi orang lain seperti dirimu sendiri, meninggalkan dan menolak godaan dosa yang datang dari keinginan daging, dunia dan syaitan. Bersikap jujurlah dan memohon Tuhan untuk menunjukkan bagaimana kita telah mengabaikan atau lalai menjalankan kewajiban tersebut. Mengaku dan bertaubat di hadapan Tuhan, supaya kita dapat berdamai dengan Tuhan. Sekiranya kita ingin menerima berkat-berkat Perjanjian, di mana salah satu berkat Perjanjian ialah kepantasan Tuhan menjawab doa kita, kita harus siap untuk memenuhi kewajiban kita. Jika tidak, jawapan untuk doa kita mungkin tertangguh.

Satu perkara yang pasti dari petikan firman pada hari ini, Tuhan akan datang kepada kita dengan cepat ketika kita perlu "mencampakkan gunung" yang berada di depan kita. Sekiranya kamu melihat "gunung" di hadapan kamu pada tahun ini, berpeganglah kepada Perjanjian kamu dengan Tuhan dalam Yesus Kristus, percaya kepada Tuhan, dan bergelut dalam doa untuk singkirkannya di dalam Nama Yesus.

Baru-baru ini saya menerima satu kisah yang menggambarkan iman:

Suatu ketika, semua penduduk kampung memutuskan untuk berdoa agar hujan turun. Pada hari doa syafaat, semua berkumpul tetapi hanya seorang budak lelaki yang membawa payung. Itulah iman.

Begitulah rupa iman yang menyingkir gunung! Isytiharkan ke dalam tahun ini, berkat-berkat Perjanjian Tuhan bersama dengan iman sebegitu, dan berharaplah untuk menerima berkat- berkat itu.


FOKUS DOA
Pada hari Khamis Suci ini, mari kita memperingati Perjamuan Suci sebagai Perayaan kepada Perjanjian Tuhan yang lebih baik. Mengakui dan bertaubat jika telah melanggar kewajiban dalam Perjanjian dengan Tuhan - janji-janji pembaptisan kita. Mintalah Tuhan untuk mengembalikan berkat-berkat Perjanjian ke dalam hidupmu.