[Hari 30] Kebenaran dan Kebebasan


Image
HARI 30
Kebenaran dan Kebebasan


Maka kata-Nya kepada orang-orang Yahudi yang percaya kepada-Nya: "Jikalau kamu tetap dalam firman-Ku, kamu benar-benar adalah murid-Ku dan kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan memerdekakan kamu."... Jadi apabila Anak itu memerdekakan kamu, kamupun benar-benar merdeka.
Yohanes 8:31-32, 36

Pembohongan bukan sekadar ‘tidak benar’, tetapi kebenaran yang diputarbelitkan, kebenaran yang dicampuradukkan dengan kepalsuan.

Apabila kita mempercayai pembohongan, dan bertindak atau membuat keputusan bergantung padanya, ia akan membawa kita ke dalam kesalahan, kehancuran dan perhambaan. Yesus menggambarkan iblis sebagai bapa segala dusta, “Iblislah yang menjadi bapamu dan kamu ingin melakukan keinginan-keinginan bapamu. Ia adalah pembunuh manusia sejak semula dan tidak hidup dalam kebenaran, sebab di dalam dia tidak ada kebenaran. Apabila ia berkata dusta, ia berkata atas kehendaknya sendiri, sebab ia adalah pendusta dan bapa segala dusta” (Yohanes 8:44). Oleh itu, ketika kita hidup dalam pembohongan, kita akan jatuh ke dalam perangkap iblis, terdedah kepada rancangan pemusnahannya. Pembohongan dapat beroperasi di setiap bahagian dalam hidup kita – harga diri kita, nilai kita, hubungan kita seperti perkahwinan, keluarga, saudara-saudari dalam Kristus, kewangan kita, ibadah kita, malah doa kita, dan banyak lagi. Tidak hairanlah Yesus mengatakan bahawa barangsiapa menyembah Allah, harus meyembah-Nya dalam Roh dan kebenaran.

Dosa telah mecerobohi kehidupan manusia dan tamadun manusia, sehingga memberi peluang kepada iblis untuk memerangkap manusia di dalam tangannya melalui pembohongan dan penipuan. Harapan apa yang kita ada? Yesus berkata, Dia-lah Jalan, Kebenaran dan Hidup. Terlebih dahulu, kita harus percaya kepada kata-kata-Nya, menjadikan firman TUHAN sebagai tali sipat kebenaran, bergantung pada kebenaran yang dinyatakan oleh TUHAN dalam tindakan dan keputusan kita. Kemudian, kita akan dibebaskan dari pembohongan iblis dan akibat-akibat pembohongan itu.

Mempercayai pembohongan meletakkan kita ke dalam tangan iblis. Mempercayai kebenaran membawa kita ke dalam kasih Allah. Mengetahui kebenaran akan membebaskan kita. Tetapi kita mesti datang kepada Yesus terlebih dahulu, untuk mengenali Dia dan tinggal di dalam firman-Nya. Hanya dengan itu kita akan beralih dari alam kehancuran iblis ke  alam keberkatan Allah!


FOKUS DOA
Hari ini, ingatilah mereka yang terperangkap dalam pembohongan dan penipuan iblis, yang tidak dapat meihat kebenaran Allah, dan Yesus sebagai Penyelamat mereka. Berdoa syafaat untuk mereka agar Terang Yesus, iaitu Terang Kebenaran, akan menyinari minda dan roh mereka.