Ketika hari sudah malam pada hari pertama minggu itu berkumpullah murid-murid Yesus di suatu tempat dengan pintu-pintu yang terkunci karena mereka takut kepada orang-orang Yahudi. Pada waktu itu datanglah Yesus dan berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata: "Damai sejahtera bagi kamu.”
Murid-murid Yesus baru sahaja melalui satu pengalaman yang menggegarkan. Yesus disalibkan. Mereka kehilangan pemimpin, hilang harapan dan masa depan mereka tidak menentu. Mereka dalam ketakutan dan berada dalam keadaan berkurung. Kemudian Yesus, menampakkan diri kepada mereka walaupun pintu masih tertutup dan berkata sesuatu yang mereka amat perlukan: Damai sejahtera!
Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, pergerakan rakyat dan aktiviti harian sangat terhad. Covid-19 memberi kesan buruk yang besar kepada masyarakat dan negara. Ramai nyawa terjejas, dan ramai lagi yang akan terjejas dalam masa terdekat. Kehidupan dalam perintah berkurung seperti ini adalah sukar, masa depan yang tidak menentu. Lebih daripada sekadar kesusahan ekonomi dan ancaman terhadap nyawa manusia, kesan dari segi sosial, emosi dan rohani adalah di luar bayangan kita.
Di tengah-tengah rasa putus asa dan tidak berdaya ini, kita mungkin berasa kita terperangkap, terkurung, tetapi Allah tidak dapat tersekat di luar keadaan kita. Dia masih berkuasa. Dia masih ingin datang kepada kita dalam keadaan apa pun yang dihadapi dan membawa kedamaian kepada kita. Dia mahu dekat dengan kita, dan melibatkan diri dalam kehidupan kita secara peribadi. Tetapi kita mesti mengizinkan, mengajak, mencari dan menunggu Dia. Kita perlu mengizinkan Dia mengadakan jalan-Nya dalam hidup kita. Kita perlu menobatkan Dia sebagai Raja dan Tuhan dalam hidup kita.
Mungkin ada sebab-sebab yang tertentu, anda sekarang berada dalam satu keadaan "terkurung". Masalah atau "gunung" yang anda hadapi mungkin kelihatan sangat besar bagi kamu. Kamu mungkin rasa terperangkap dan terputus dari segala pertolongan yang ada. Tetapi tidak ada masalah atau gunung yang terlalu besar untuk menyekat Tuhan di luar keadaan kamu. Dia dapat menyerbu ke dalam keadaan kamu dan membawa kedamaian dan ketenangan di tengah-tengah ribut. Fokus kepada Tuhan dan lihatlah betapa besarnya Dia daripada masalah kamu.
Berdoalah dengan sungguh-sungguh, mengundang Yesus memegang setiap bahagian hidupmu. Berharap untuk bertemu dengan Dia dan mendengar Dia berbicara kepada kamu di sebalik pintu tertutup itu, "Damai sejahtera bagi kamu!”