[Hari 40] Damai Kebangkitan


Image
HARI 40
Damai Kebangkitan


Ketika hari sudah malam pada hari pertama minggu itu berkumpullah murid-murid Yesus di suatu tempat dengan pintu-pintu yang terkunci karena mereka takut kepada orang-orang Yahudi. Pada waktu itu datanglah Yesus dan berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata: "Damai sejahtera bagi kamu!" Dan sesudah berkata demikian, Ia menunjukkan tangan-Nya dan lambung-Nya kepada mereka. Murid-murid itu bersukacita ketika mereka melihat Tuhan.
Yohanes 20: 19-20

Tuan mereka dihukum mati dan disalibkan beberapa hari sebelumnya. Murid-murid Yesus pasti bingung, kehilangan arah apa yang mereka akan lakukan seterusnya. Yesus adalah orang yang paling tidak popular dalam beberapa hari itu, terutama sekali di kalangan umat Yahudi dan pemimpin Yahudi. Para murid takut kepada mereka, kerana mereka mungkin akan mencari murid-murid Yesus untuk dihukum. Para murid boleh memilih untuk bersembunyi secara individu, selamatkan diri dan keluarga mereka. Sebaliknya, mereka memilih untuk berkumpul di satu tempat. Saya tertanya-tanya apa yang mereka bicarakan? Mungkinkah mereka saling menuding jari kerana mereka meninggalkan Yesus pada saat Dia sangat memerlukan mereka? Atau mungkinkah mereka menghibur, menyokong, dan mendorong satu sama lain? Saya cenderung berfikir jawapan yang kedua itu benar. Sejurusnya, Yesus yang Bangkit datang dan berdiri di antara mereka dan berkata, "Damai sejahtera bagi kamu."

Pada saat ancaman maut menimpa kita, selalunya ada 2 tindak balas yang mungkin diambil. Ancaman itu mungin mendesak kita supaya melindungi diri kita sendiri, menuding jari pada orang lain dan membuat orang lain bertanggungjawab atas penderitaan kita pada masa itu. Ataupun ancaman maut menyatukan kita dengan saling menyokong, mendorong dan menyatakan kasih yang rela berkorban antara satu sama lain.

Dalam pandemik Covid-19 yang kini melanda seluruh dunia, kita dapat lihat  2 jenis tindak balas ini. Dalam kalangan individu, komuniti atau negara, pandemik boleh memecah-belahkan hubungan manusia melalui perlindungan diri kerana kepentingan diri sendiri, menuding jari atau menjadi tidak bertanggungjawab, menolak tanggungjawab ke atas keputusan dan tingkah laku sendiri, ataupun pandemik ini boleh menyatukan kita bersama-sama, saling menyokong, saling menjaga dan nyatakan kasih yang rela berkorban antara satu sama lain.

Para murid Yesus, walaupun berhadapan dengan ancaman maut, bukan hanya setelah Penyaliban Yesus tetapi juga selama sejarah Gereja awal, mereka masih memilih untuk berkumpul bersama dalam kasih dan sokongan antara satu sama lain. Akibatnya, mereka menemui kehadiran Yesus di tengah-tengah mereka. Kedamaian, benar-benar muncul ke atas hidup mereka di saat mereka melihat Kristus yang Bangkit. Ini bermaksud bahawa maut tidak berkuasa ke atas Tuhan dan Tuan mereka. Oleh itu, maut bukan lagi ancaman yang menyebabkan ketakutan yang melumpuhkan di dalam hidup mereka. Itulah kedamaian sebenar!

Kita juga perlu membuat pilihan pada hari ini. Sekiranya manusia berkumpul tanpa mengira perbezaan di antara kita tetapi kita saling mengasihi dan tunduk kepada nilai-nilai Allah dan merendahkan diri, itu akan mendekatkan kita dengan keselamatan Tuhan. Ketika umat Kristian berkumpul hari ini, bergabung bersama dalam hati, fikiran, dan jiwa kita, untuk merayakan dan menyembah dalam roh dan kebenaran, Yesus yang telah bangkit dan hidup. Ini pasti akan menarik hadirat Yesus, Putera Damai yang Bangkit. Kedamaian sejati pasti ada di antara kita!

Semoga Damai Kebangkitan bersamamu. Selamat Hari Kebangkitan!


FOKUS DOA
  1. Sembahlah Kristus yang dibangkitkan pada hari ini. Bersyukurlah kepada Dia atas rahmat penyelamatan-Nya dan bersukacitalah dengan kemenangan Salib.
  2. Berdoalah untuk Gereja agar kita dapat memberikan kesaksian yang berkesan mengenai kuasa dan kasih Kristus yang Bangkit kepada dunia.