[Hari 6] Menggulingkan Dewa Kemudahan


Image
HARI 6
Menggulingkan Dewa Kemudahan


Tetapi bangsa itu tidak mau menghiraukan perkataan Samuel, malahan mereka berkata, "Biarlah! Bagaimanapun juga kita menginginkan raja. Kita ingin serupa dengan bangsa-bangsa lain, raja kita harus memerintah kita dan memimpin kita dalam peperangan.
1 Samuel 8:19-20

Ketika umat Israel melihat bahawa anak-anak Samuel tidak adil seperti ayah mereka, mereka membuat keputusan sendiri. Mereka pandang kepada negara-negara di sekitar mereka untuk mencari penyelesaian yang lain. Mereka meminta agar seorang raja menjadi pemerintah mereka. Sebenarnya, Tuhan adalah Raja mereka. Mereka boleh pergi kepada Raja mereka untuk meminta jalan keluar, bahkan meminta dari Dia hakim-hakim yang baru. Namum sebaliknya, mereka menolak Raja mereka dan merancang untuk menggantikan Dia dengan raja yang lain.

Apabila kita menolak Tuhan sebagai Raja seumur hidup kita, takhta yang kosong itu masih perlu diisi. Kita akan memilih yang lain untuk duduk di atasnya, agar kita dapat melayani raja yang baru dan menundukkan hidup kita kepadanya. Seringkali kita membiarkan kemudahan (convenience) dimahkotakan dalam hidup kita. Ini bermaksud, setiap kali kita membuat keputusan, kita akan memilih jalan keluar yang senang. Walaupun pertimbangan dari segi kemudahan kadang-kala akan mempengaruhi keputusan kita, tetapi itu tidak seharusnya menjadi pertimbangan utama. Kemudahan boleh memaksa kita melanggar undang-undang, berkompromi dengan nilai-nilai kita.

Bagaimana kita tahu kemudahan berada di takhta kehidupan kita? Adakah kita mengejar hasil yang cepat berbanding kualiti kerja? Adakah kita memilih untuk mentaati Tuhan hanya jika ia tidak melibatkan usaha? Adakah kita menyembah Dia hanya ketika kita lapang, setelah membiarkan perkara perkara lain memenuhi jadual waktu kita? Kemudahan adalah salah satu pendorong teknologi dan ubat-ubatan. Selagi ada orang yang mencari kemudahan sebagai keutamaan mereka, teknologi yang lebih pantas dan maju akan muncul. Perjalanan yang lebih pantas, kelajuan internet yang lebih tinggi, dan lain-lain. Ubat-ubatan farmasi yang lebih cekap akan terus dihasilkan. Semua ini mungkin, dengan mengorbankan gaya hidup sihat dan badan yang lebih sihat untuk jangka masa panjang.

Demi kemudahan, sumber semula jadi, ubat-ubatan, undang-undang tanah, bahkan hubungan sesama manusia boleh disalahgunakan. Segala penyalahgunaan pemberian yang baik dari Allah ada akibatnya. Ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan, keluarga, masyarakat  atau bangsa bangsa.

Sudah tiba masanya kita harus menilai cara kita, sikap kita terhadap Tuhan dan karunia Tuhan yang baik. Selidiki hati kita dan bersikap jujur dengan diri kita sendiri - adakah Tuhan berada di takhta kehidupan kita? Atau Kemudahan? Sudah tiba masanya untuk menjatuhkan dewa Kemudahan! Inilah masanya untuk memilih dan menobatkan Yesus sebagai Raja seumur hidup kita!


FOKUS DOA
  1. Mengaku dan bertaubat kerana tunduk kepada dewa kemudahan dalam hidup kita. Mintalah Tuhan untuk mengampuni negara kita kerana berserah kepada godaan untuk memperbaiki sesuatu dengan cepat dengan mengorbankan kesejahteraan jangka masa panjang.
  2. Luangkan masa untuk memuji dan menyembah Yesus dan menobatkan Dia di setiap bidang dalam hidupmu.