[Hari 5] Kristus itu Cukup


Image
HARI 5
Kristus itu Cukup


Tetapi Tuhan menjawab, "Aku mengasihi engkau dan itu sudah cukup untukmu; sebab kuasa-Ku justru paling kuat kalau kau dalam keadaan lemah." Itu sebabnya saya lebih senang membanggakan kelemahan-kelemahan saya, sebab apabila saya lemah, maka justru pada waktu itulah saya merasakan Kristus melindungi saya dengan kekuatan-Nya.
2 Korintus 12:9

Mendiang ibu saya terkenal kerana merawat penyakit kayap dengan cara tradisional. Kaedah ini diturunkan kepadanya dari ibunya dan dari nenek moyangnya. Suatu ketika, salah seorang rakan lamanya, yang juga seorang doktor perubatan barat, mengalami kayap. Dia datang untuk berbicara dengan ibu saya. Kaedah yang digunakan oleh ibu saya adalah ramuan herba dan cara semula jadi, yang membolehkan tubuh menyembuhkan dirinya sendiri dan membina imuniti, yang biasanya memerlukan beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya. Rakannya membuat keputusan untuk mengambil cara yang lebih mahal dengan menggunakan antibiotik dan ubat-ubatan, kerana dia tidak sabar mahu cepat sembuh.

Dorongan untuk mencari penyelesaian yang cepat bagi masalah kita adalah tertanam dalam diri kita semua. Ketika kita berhadapan dengan masalah dan cabaran, baik dalam diri kita mahupun dalam keadaan luaran kita, kecenderungan bagi kita adalah mencari jalan tercepat untuk menyelesaikannya, walau apa cara sekalipun. Saya mempunyai seorang kawan yang pernah mengatakan kepada saya bahawa motto bagi hidupnya adalah mencari jalan yang paling kurang rintangannya. Kadang-kadang, kita memerlukan sikap seperti ini dalam hidup kita, agar kita dapat mengatur kehidupan, aktiviti, perniagaan atau pelayanan dengan cekap. Tanpa keraguan, dalam suasana komersial atau profesional, ini adalah salah satu kualiti yang kita cari dalam diri seorang pekerja.

Ketidaksabaran seperti ini untuk memperbaiki kehidupan kita dengan cepat, mungkin akan menyebabkan kita mengamalkan cara yang bertentangan dengan cara Tuhan untuk membawa penyembuhan, pemulihan, dan kebebasan sejati – dalam hal kewangan, emosi atau rohani dalam hidup kita. Namun Tuhan bersabar. Dia mempunyai kepentingan terbaik bagi kita dalam hati-Nya. Dia berminat dengan masalah kita – sama ada masalah dalam diri kita yang berkaitan dengan sifat peribadi kita, atau keadaan di luar yang berkaitan dengan keluarga, masyarakat atau negara kita. Dia mempunyai penyelesaian terbaik bagi kita. Penyelesaiannya ialah selalu mengikhtiarkan manfaat jangka panjang, menghasilkan buah yang tahan lama.

Apa sahaja yang kamu hadapi dalam hidup kamu pada hari ini, bersabarlah. Jangan mencari jalan pintas. Serahkan kelemahan, penyakit, kesulitan, "gunung dan raksasa" kamu kepada Tuhan. Dengarkanlah dari Dia mengenai keadaanmu. Kadang-kadang pendengaran juga memerlukan masa. Setelah kamu mendengar daripada Dia, berpeganglah kepada kata-kata dan janji-janji-Nya. Biar Tuhan melakukan penyembuhan dan pemulihan yang berpanjangan dalam hidupmu.

Sekiranya Kristus cukup bagi kita, adakah itu alasan yang mencukupi untuk kamu agar bersandar pada kekuatan dan jalan-Nya?


FOKUS DOA
Berdoalah untuk umat Tuhan agar kita tidak berkompromi dengan nilai dan piawaian moral Allah dalam kehidupan kita. Berdoalah untuk para pemimpin di Gereja Allah dan bangsa ini agar mereka tidak menjejaskan kebenaran untuk mencari jalan penyelesaian jangka pendek semasa menangani cabaran-cabaran semasa.