[Hari 8] Kemuliaan Tuhan Dalam Diri Kita


Image
HARI 8
Kemuliaan Tuhan Dalam Diri Kita


Nah, Tuhan yang dimaksudkan di sini adalah Roh. Dan di mana Roh Tuhan ada, di situ juga ada kemerdekaan. Sekarang muka kita semua tidak ditutupi selubung, dan kita memantulkan kecemerlangan Tuhan Yesus. Dan oleh sebab itu kita terus-menerus diubah menjadi seperti Dia; makin lama kita menjadi makin cemerlang. Kecemerlangan itu dari Roh, dan Roh itu adalah Tuhan.
2 Korintus 3:17-18

Kita sering mengatakan bahawa kita ingin memuliakan Tuhan dalam hidup kita. Adakah kamu tahu bahawa Tuhan ingin "memuliakan" kita?

Tujuan utama penciptaan manusia adalah untuk kemuliaan Tuhan. "Semua orang yang disebutkan dengan nama-Ku yang Kuciptakan untuk kemuliaan-Ku, yang Kubentuk dan yang juga Kujadikan!" (Yesaya 43:7). Pada Penciptaan, Allah Pencipta menyerahkan sesuatu yang bersifat peribadi-Nya kepada manusia – iaitu nafas-Nya. Manusia dicipta untuk berhubung rapat dengan Penciptanya tidak seperti ciptaan yang lain. Kemuliaan Tuhan sepatutnya dinyatakan melalui manusia. Namun, kerana dosa, manusia tidak dapat mencerminkan kemuliaan Tuhan dalam kepenuhannya. Kita dalam keadaan berdosa, semuanya seperti cermin yang telah pecah!

Rasul Paulus berbicara tentang mereka yang berada di dalam Kristus memasuki hadirat Allah dan melihat wajah-Nya dengan bebas. Dalam proses itu, kita semakin berubah menjadi imej Tuhan, Pencipta kita. Ini adalah proses pemulihan. Tujuan akhirnya supaya kita dapat mencerminkan kemuliaan Tuhan dalam ukuran yang meningkat, agar kita menyatakan kasih-Nya, kekuatan-Nya dan sifat-Nya dengan lebih lagi kepada dunia di sekeliling kita.

Kemuliaan ini yang ditunjukkan oleh Tuhan dalam diri kita mesti datang dari Dia. Yesaya memperingatkan kita agar tidak "mencuri" kemuliaan Tuhan – bermaksud mempergunakan kemuliaan-Nya tanpa izin-Nya. Dia tidak akan berkongsi kemuliaan-Nya dengan yang lain. Namun Dia ingin tinggal di dalam kita, untuk mencurahkan Roh-Nya kepada kita. Dia berhasrat tinggal dalam hidup kita dan mewujudkan Kehidupan Kristus yang Bangkit, agar Dia dapat memuliakan diri-Nya di dalam dan melalui kita!

Dia ingin "memuliakan" kita dengan menyatakan Kemuliaan-Nya dalam diri kita.


FOKUS DOA
  1. Mengakui dan bertaubat kerana "gagal mencerminkan kemuliaan Tuhan" dalam hidup kamu. Mintalah Tuhan untuk mengampuni kamu atas cara-cara bagaimana kamu telah mencemarkan badan, mulut, mata dan telingamu dengan dosa dan dengan perkara yang tidak baik.
  2. Mintalah Tuhan untuk mengisi kamu dengan Roh Kudus, untuk membentuk dan menyatakan sifat Kristus dalam diri kamu agar kamu benar-benar memuliakan Tuhan dalam hidupmu.